Ufuk Minda: Kuasai ilmu angkat martabat umat merdeka
http://www.bharian.com.my/m/BHarian/Wednesday/Agama/20060919212346/Article/
Ufuk Minda: Kuasai ilmu angkat martabat umat merdeka
Bersama Dr Prof Sidek Baba
KEMERDEKAAN tidak akan memberi makna apa-apa kepada manusia tanpa ilmu. Ilmu menjadikan manusia berpengetahuan. Ilmu memberi manusia makna sesuatu dan daripadanya manusia dapat mengenal diri, dirinya dan hubungannya dengan Pencipta dan hubungannya dengan persekitaran.
Dalam tradisi Islam, ilmu tidak saja mampu memberi manusia pengetahuan mengenai benda yang nampak dan nyata, malah pengetahuan alam ghaib dalam batas yang terizin.
Nabi Adam mengenal benda kerana ia diajarkan oleh Allah SWT. Nabi Isa dan Musa mengenal dan menganjurkan kepada manusia mengenai Tuhan dan alam ini menerusi wahyu.
Nabi Muhammad SAW mengenal akidah tauhid apabila Jibrail menghantarkan wahyu supaya daripadanya Rasulullah SAW mendapat pedoman dan petunjuk berasaskan hikmah atau al-Quran. Sumber wahyu itu berkembang dan membina tradisi ilmu dan menjadikan manusia celik akidah dan asas akidah menjadikan jiwa merdeka.
Isu utama manusia dalam kehidupan ialah mencari makna sesuatu. Baik namanya perubahan dan kemajuan, kemodenan dan kebendaan, kebahagiaan dan kesenangan, hiburan atau sukan, maklumat dan data, pengalaman dan pendidikan semua membawa manusia kepada makna hidup dihajati.
Ilmu daripada perspektif Islam membimbing manusia kepada kemerdekaan diri supaya manusia kekal dalam fitrah atau kembali semula kepada fitrah.
Al-Quran memberi pedoman mengenai makna ilman nafi'a atau ilmu yang berguna dan bermanfaat atau konsep yanfaunnas atau sesuatu bermanfaat. Asas ini penting dijadikan landasan utama dalam memahami makna terhadap kehidupan.
Makna maju bagi manusia tidak saja dilihat dalam kemajuan kebendaan atau fizikal yang menjadi alat atau kemudahan untuk kehidupan manusia, malah dari sudut akhlak. Akhlak dalam makna yang luas tidak hanya merangkumi aspek budi bahasa dan sopan santun. Ia merangkumi seluruh tingkah laku yang membawa kebaikan dan manfaat yang dikaitkan dengan akhlak.
Ilmu al-Quran dan hadis melihat akhlak perkara utama dalam kehidupan dan menjadi punca kepada segala perlakuan manusia. Akhlak baik dan terpuji akan membawa kesan terpuji kepada manusia.
Begitu juga usaha manusia untuk memahami makna kebahagiaan dan kesejahteraan. Tanpa ilmu, tidak mungkin manusia akan sampai kepada tahap kebahagiaan dan kesejahteraan sejati.
Allah kurniakan manusia dengan rahmah dan nikmah yang banyak. Benda dan kebendaan adalah perkara sering dihubungkan dengan kebahagiaan dan kesejahteraan. Benda adalah kejadian Allah dan ia alat bukan matlamat.
Islam tidak mencegah manusia daripada menikmati benda yang Allah ciptakan dalam alam ini. Sebagai hamba dan khalifah, manusia diberikan amanah supaya benda perlulah diuruskan dengan amanah, adil dan ihsan.
Sekiranya hasil daripada kekayaan benda, manusia menjadi sombong, takbur dan riak terhadap benda dimilikinya, asas kebahagiaan serta kesejahteraan sebenar tidak ada lagi.
Ilmu al-Quran memberi pedoman bahawa benda yang Allah ciptakan itu perlu diuruskan dengan betul. Sekiranya Allah bersikap ihsan kepada hamba dan makhluknya bagaimana pula keihsanan manusia sesama manusia dalam perkara berjual-beli, berzakat fitrah dan bersedekah.
Ilmu syariat umpamanya memandu manusia supaya jangan lakukan eksploitasi dan diskriminasi terhadap manusia lain kerana ia membawa kepada kezaliman. Sekiranya kekayaan benda yang dimiliki membawa manusia berjiwa hamba, manfaat pengurusan harta menjadikan amal ibadah seseorang bertambah. Dia tidak melihat benda adalah segala-galanya, sebaliknya benda selamanya alat untuk mencapai makna hidup lebih murni.
Hari ini manusia melihat teknologi dan sains adalah segala-galanya. Islam tidak menolak teknologi dan sains yang bermanfaat. Kekuatan tamadun Islam masa lalu ditandai dengan perkembangan ilmu yang bermanfaat.
Matematik, sains, angkasa lepas, falsafah, muzik, perubatan dan pembinaan alat adalah ilmu yang membimbing manusia maju dan menghargai sumber alam yang dikurniakan oleh Allah. Kini ilmu yang disebutkan tadi mengalami perubahan orientasi menyebabkan ia digunakan untuk membina kuasa, kekuatan, teknologi dan ideologi yang akhirnya digunakan untuk menindas negara kecil dan lemah.
Ilmu yang benar dan bermanfaat sentiasa dikaitkan sebagai amanah Allah. Pengurusan ilmu dalam Islam sentiasa dikaitkan dengan nilai guna yang baik terhadap manusia dan alam.
Aplikasi ilmu dalam sistem dan kehidupan sentiasa dilihat sebagai sumber amal dan ibadah. Aplikasi ilmu sentiasa dalam maksud menjadikan manusia celik akal dan hati melihat yang benar itu benar dan yang salah itu tetap salah. Ia membimbing manusia supaya penerokaan ilmu dalam pengertian sains dan teknologi sentiasa ke arah menginsafi kebesaran Allah di alam ini sebagai tanda kewujudan dan keperkasaan-Nya.
Sekiranya ilmu berkembang dan menyebabkan keyakinan manusia kepada Pencipta menjadi menipis dan rasa syukur tidak wujud pada diri manusia, maka ilmu yang diperolehi tidak lagi mendekatkan diri kepada Allah, sebaliknya mengagungkan manusia atau benda. Mereka melihat benda dan manusia adalah segala-galanya. Ia menyebabkan manusia terbelenggu dengan faham tidak fitrah.
Faham fitrah adalah ilmu daripada Allah dan ilmu daripada pemikiran manusia harus ditemukan supaya ia mampu membangunkan kekuatan peribadi berasaskan keunggulan akidah dan akhlak yang jelas. Ia juga memandu usaha penerokaan akal dan pengalaman dalam hidup. Ia mampu menyebabkan manusia tidak hanya memahami kehidupan dalam batas faktor yang nyata, malah meyakini batas faktor yang ghaib. Inilah puncak memahami makna dalam diri dan makna dalam kehidupan.

0 Comments:
Post a Comment
<< Home